29 June 2009

Merentas Neraka,untuk Ke Syurga

Maka tersebutlah satu kisah di sebuah pulau bernama Pulau Malizia. Berpegang teguh dengan agama turun temurun, agama Intelek. Letaknya di tengah lautan, pantai memutih bersih. Malah cukup kaya dengan hasil galian dan tanaman. Dihubungkan pula pulau tersebut dengan Semenanjung Kuasa oleh Jambatan Raja-raja.

Jambatan Raja-raja merupakan penghubung utama Pulau Malizia dan Semenanjung Kuasa. Uniknya, Jambatan Raja-raja umpama sebuah laluan berdindingkan kota. Lengkap dengan pengawal dan segala macam polis.



Ingin dijadikan cerita, lantaran banyaknya sumber bumi dan mineral galian, datanglah segerombolan manusia berkulit putih, berjambang perang, dan berbangsa Omputih menyerang Pulau Malizia.

Diruntuhkan Jambatan Raja-raja. Bertempiaran lari manusia Jambatan Raja-raja ke Pulau Malizia. Yang hanyut ke Semenanjung Kuasa ditawan bangsa Omputih. Seberang sudah dikuasai, giliran pulau pula ditakluki.


Armada Omputih dikuasai Alphonse de Fullmetalkaki siap siaga merancang segala. Diserang rakyat Pulau Malizia. Tanpa sokongan dari Semenanjung Kuasa, Pulau Malizia jatuh lemah. Akhirnya tewas dirampas bangsa Omputih.

Habis mineral galian dan tanaman dirampas diangkut ke atas kapal besar bernama Jah Jahan. Diulang-alik dari Pulau ke Semenanjung Kuasa. Alphonse de Fullmetalkaki hanya ketawa melihat kejayaan merampas Pulau Malizia.

Lama kelamaan bekalan makanan semakin habis. Galian dan mineral habis dikaut. Pulau Malizia jatuh miskin. Kebuluran berleluasa. Pemberontakan di mana-mana. Rakyat Pulau malizia berpecah dua. Yang belot, pergi mengangkut galian untuk bangsa Omputih. Yang masih setia, bersabar memakan ubi batotis.

Lautnya indah tapi dikelilingi Jerung Putih dan Harimau Laut. Tiadalah mampu rakyat Pulau Malizia ke Semenanjung Kuasa mendapatkan sumber makanan dari seberang dengan bot atau berenang, semuanya bakal mati lemas atau dimakan pemangsa.

Akhirnya armada Omputih pulang bersama galian di dalam kapal besar Jah Jahan. Lantaran kesian kerana kebuluran, Alphonse bertindak kononnya baik. Beliau bina jambatan baru. Jambatan Sikramode.

Uniknya masih sama, dindingnya umpama kota. Cumanya kota itu diduduki penzina seksi. Rangka dari tulang anjing. Bertarkan daging babi. Pelacur murahan berkeliaran sana-sini. Lampu dari botol arak, signboard berlabelkan judi.

Diserahkan Jambatan Sikramode pada rakyat yang berjasa mengangkut mineral. Bergembiralah golongan pembelot Pulau Malizia. Dikawal ketat satu-satunya laluan Semenanjung Kuasa dan Pulau Malizia. Tapi kecewa kerana makanan asasi nasi sahaja dibenarkan masuk. Vitamin Akhlak disekat. Yang berbaki di sisi rakyat Pulau Malizia hanya Vitamin Budaya dan Vitamin Kahwin. Vitamin Cinta diimport tapi telah berubah komposisi kimia, Vitamin Couple. Rakyat semakin kebuluran, sesak keracunan kevitaminan.

Maka bangkit seorang pemuda dari golongan agama. "Kami golongan Pejuang Intelek Malizia akan pergi meredah Jambatan Sikramode ke Semenanjung Kuasa," laung mereka. Sebilangan alim-alim yang lain menggeleng kepala.

"Tuhan! Apakah itu kamu yang berkata-kata? Kamu dari Pejuang Intelek Malizia? Pemimpin tinggi lagi ilmuwan Pejuang Intelek Malizia? Kamu tahukan Jambatan Sikramode penuh maksiat! Menyentuhnya sahaja sudah haram! Udaranya tercemar najis babi dan anjing, suasananya penuh pelacuran!" laung satu suara dari belakang. Alim-alim yang tadi menggeleng-geleng kini mengangguk-angguk.

"Maka adakah kamu ingin terus hidup begini? Jika kita ke Semenanjung Kuasa, kita boleh mendapatkan bantuan," hujah pemuda pertama.

"Tuhan, Tuhan! Ingat Tuhan ya Akhi! Memijak jambatan itu sahaja umpama menjejak neraka! Apa Akhi tidak takut ke neraka?"

"Kami tidak sanggup melihat rakyat Pulau Malizia terus begini. Kita kekurangan Vitamin A! Malah muda-mudi diracun Vitamin C palsu. Sampai bila kita harus begini?"

"Bagaimana kalau Akhi kecundang di tengah jalan? Jambatan itu penuh dengan godaan nafsu yang mampu menggoncang iman kamu semua, wahai golongan Pejuang Intelek Malizia!" Lelaki di belakang masih cuba melarang.

Lelaki pertama terdiam. Tangannya digenggam, gigi digertap. Rasa pedih dengan kebenaran dan hakikat.

"Kita mesti hancurkan Jambatan Sikramode! Kita bina kembali Jambatan Raja-raja... Tidak, kita bina jambatan yang lebih agung, Jambatan Syawamurah sebagaimana zaman kegemilangan agama kita dahulu!" Lantang lelaki di belakang berkata-kata. Seperti yang dijangka dari seorang pemimpin Pejuang Pembebasan.

"Kamu benar, tapi bagaimana kita ingin membina Jambatan Syawamurah mulia itu? Semua bahannya berada di seberang, kita tidak punyai apa-apa di sini." Balas Pejuang Intelek Malizia.

"Kita wajiblah mengikut cara Pengasas agama Intelek kita, meminta izin ke Semenanjung Kuasa daripada pengawal Jambatan Sikramode. Aku yakin, jika kita ikhlas kerana Tuhan, maka Tuhan pasti membantu. Tapi bukan sekali-kali melalui Jambatan Sikramode yang bernoda itu."

"Adakah pengawal Jambatan Sikramode akan membantu kamu? Jika kamu tidak ingin melalui Jambatan Sikramode, maka bagaimana kamu ingin ke Semenanjung Kuasa?"

"Kita minta mereka sediakan kapal untuk kita berangkat, kita minta mereka sediakan kapal terbang untuk menyeberang."

Pemimpin Pejuang Intelek Malizia menggeleng-geleng. Keluhan kasar terkeluar. Mana mungkin Pembelot Bangsa akan menyediakan semua itu!

Perbincangan belum berpenghujung, mesyuarat golongan agama sudah berlangsung lebih 12 jam. Akhirnya pemimpin golongan Pejuang Intelek Malizia bangkit.

"Kami akan meredah Jambatan Sikramode. Kami akan tiba di Semenanjung Kuasa. Dan kami akan kembali dengan bantuan Semenanjung Kuasa. Kami akan robohkan Jambatan Sikramode dan bina Jambatan Syawamurah. Kami akan kembalikan hak asasi rakyat Pulau Malizia. Kami tidak akan biarkan anak-anak kami terus kekurangan vitamin sebegini." Golongan Pejuang Pembebasan Intelek menggeleng-geleng.

"Kamu sungguh tidak faham bahasa Malizia! Jambatan itu penuh noda. Pelacur seksi menampakkan lurah dan duit judi menggunung bakal menyesatkan kamu semua!"

"Jika ada di kalangan kami yang terpesong, terpikat masuk ke dinding kota yang dipenuhi maksiat pelacuran dan judi, maka kami akan tinggalkan mereka. Selagi masih ada seorang di antara kami bermatlamatkan Tuhan Agung, maka kami akan berjaya tiba di Semenanjung Kuasa. Kami akan berjaya menyelamatkan rakyat Pulau Malizia!" Tegas Pemimpin Pejuang Intelek Malizia bersuara.

"Matlamat tidak menghalalkan cara! Kamu telah sesat! Kamu akan ke neraka!" Laungan itu bergema di dewan mesyuarat.

"Biarkan kami sesat, kami takkan biarkan anak-anak kami sesat. Biar kami jatuh ke neraka, Kami takkan biarkan anak-anak kami menjejak neraka. Biar kami mati meredah jambatan, kami takkan biarkan anak-anak kami mati kurang vitamin. Ini janji Pejuang Intelek Malizia!" Ujar Pemimpin tersebut sambil berlalu keluar. Pejuang Pembebasan Intelek terpinga-pinga, terdiam kelu.

Pengikut-pengikut Pejuang Intelek Malizia membontoti Pemimpin mereka, menuju ke Jambatan Sikramode, memulakan pengembaraan merentas Neraka, untuk cuba ke Syurga.



Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan mereka yang telah hidup, atau belum mati. Nama watak, tempat, agama, jambatan, golongan dan haiwan adalah imaginasi penulis semata-mata, sebarang persamaan adalah kebetulan samada disengajakan atau tidak sengaja.

05 June 2009

Takbir!!!

Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah,
dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah.'


Dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan
Ke-Agungan Allah S.W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W.

Proses ini akan bergerak kearah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam.Belumpun laungan


Azan dimerata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia.Berikutnya di-Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di-Jakarta,
tiba giliran Dacca di Bangladesh.Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.

Perbezaan waktu dikota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan.Belum berakhir
di-Pakistan, Azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat.Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa
ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq.

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik.Jarak masa Azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik
adalah 9-1/2 jam.Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan
bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!

Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan tidak putus-putus.

Allahu Akhbar!