03 April 2013

Ilmiah ; Kukucupkukukakimu Dengan Puji-pujiku

-BismillahirRahmanirRahim-

Situasi di atas bangku panjang di koridor sebuah bangunan.Seorang lelaki berjanggut sejemput sedang berehat mengambil angin petang bagi menyamankan fikiran dan badan.

Datang pula seorang lagi pemuda bermisai kontot duduk di sebelahnya.Beliau seorang yang warak dan selalu ke surau,namun culas dalam kerja buat.

Maka beginilah lebih kurangnya perbualan di antara mereka berdua ;

"MasyaAllah syiekhh,wangi bau minyak attar ni.Baru balik berzikir dari musolla ke?" tanya lelaki berjanggut sejemput.

"Alhamdulillah harini boleh jugak habiskan hafazan Al-Quran satu muka.Sempat jugak tadabbur makna tadi" jawab pemuda bermisai kontot bangga.

"SubhanAllah,hebatnya amalan syiekhh,alim betul...Bilalah saya boleh jadi macam syiekh ni" lelaki berjanggut sejemput menambah.

"Alah sikit je ni,selalu saya boleh habiskan dua muka sehari.Tapi sekarang ni sibuklah.Ini pun saya tinggal sekejap kerja kat pejabat" pemuda bermisai kontot menambah perasa.

"Eh bukan ke dateline untuk kerja tu bos nak petang ke?Banyak fail yang tak dikemaskini. Rasanya dah dekat seminggu bos dah bagi tugasan tu.Tak siap-siap lagi?"

"Mm..saya tak boleh la nak tinggalkan amalan-amalan saya ni.Rugi pulak kalau sehari tinggal. Memang banyak kerja tu.Ada lebih kurang 50 fail lagi tinggal daripada 100. Tapi takpe Allah tolong orang yang rajin beribadat kepadaNya"

"Oo macam tu...Ye ke.."

"Oklah saya pergi dulu.Nak sambung berzikir 1000 kali sekejap.Assalam~"

"Wassalam"

Lelaki berjanggut sejemput menuruti dengan anak mata langkah pemuda bermisai kontot.Pemuda bermisai kontot itu berasa gembira kerana ada orang yang mengiktiraf dia alim dan warak. Dia memutuskan untuk menangguh lagi tugasan di pejabatnya yang belum selesai.Dia mengira dirinya masih boleh bertolak ansur dengan sikap tidak amanah itu,kerana masih ada orang yang memujinya soleh dan baik.

-TAMAT -

Puji bermaksud memperkatakan sesuatu yang elok.Puji-pujian adalah hak mutlak dan hanya layak kepada Allah Taala.Kalau begitu bagaimana situasi kita sering memuji dan dipuji orang?

Puji (مدح ) itu digaris pandukan oleh ulama' kepada 4 bahagian :
  1. Pujian Allah kepada diriNya (قدم إلى قدم)
  2. Pujian Allah kepada hambaNya (قدم إلى حدث)
  3. Pujian hamba kepada Allah Taala (حدث إلى قدم)
  4. Pujian hamba kepada hamba (حدث إلى حدث)

Dan hukum memuji ditetapkan ulama' tasawuf adalah :

  • Harus-apabila orang yang dipuji mencapai martabat sama sahaja antara puji dan cela
  • Makruh-apabila diDZHONkan orang yang dipuji akan makan puji
  • Haram-apabila YAKIN orang yang dipuji akan makan puji 
Harus hamba memuji hamba Allah yang lain apabila di ketahui keadaan hamba Allah yang dipuji itu tidak terasa apa-apa di dalam hatinya,walaupun dia dipuji atau dicela orang lain.

Makruh hamba Allah memuji hamba Allah yang lain apabila diketahui secara dzhon [ظن] iaitu dengan (80%) keyakinan bahawa apabila dipuji orang itu dia akan bersikap 'syiok sendiri'.

Haram hamba Allah memuji hamba Allah yang lain apabila diyakini secara 100% apabila orang itu dipuji maka sudah pasti dia ini akan berperangai makan puji,mengada-ngada dan 'syiok sendiri'.

Hukum ini terpakai hanya untuk keadaan pujian hamba Allah kepada hamba Allah yang lain sahaja.
Adapun tidak ada pertikaian apabila Allah memuji diriNya,atau Dia memuji hambaNya,atau hambaNya memujiNya kerana sememangnya segala pujian hanya layak bagi Allah.

Berdasarkan situasi tadi maka dilihat kesan sampingan pujian yang diberi oleh lelaki berjanggut sejemput kepada pemuda bermisai kontot.Pemuda bermisai kontot dilihat seronok dan berbangga dengan pujian itu manakala lelaki berjanggut sejemput pula terus menerus memuji.

Sabda Rasulullah S.A.W : Lemparlah pasir ke wajah orang-orang yang memuji [HR MUSLIM]
Alhasil,pemuda bermisai kontot terasa dirinya sudah baik dan segala keburukan dan kelemahan dirinya iaitu sikap malas dan culas dalam menunaikan amanah tidak perlu dirisaukan kerana orang masih memuji kealiman dan kewarakannya yang kekucing-kucingan itu.

Tanpa sedar dan tanpa niat lelaki berjanggut sejemput sudah 'melanyak' kualiti amalan dan akhlak pemuda bermisai kontot.

Pujian,membunuh amalan orang lain secara diam.Amal ibadah dilakukan bukan lagi berpaksikan tauhid kepada Allah Taala.Bahkan sifat riak dan 'ujub serta sum'ah (suka mendengar pujian) akan menjadi harum subur di hati orang yang memuji.

Apabila pujian itu dikembalikan orang yang dipuji kepada Allah,memuhasabahkan dirinya tentang banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki,maka orang itu layak dipuji.

Tetapi jika hanya membuatkan orang yang dipuji lupa diri,tenang dengan kerja-kerja maksiatnya, redha dengan dosa-dosanya,lemah dan tidak amanah dalam kerja buatnya,maka kita hanya 'menyembelih' sahabat kita itu,walau atas tujuan ingin menyedapkan hatinya.

Hati-hati bila memuji,elak-elak daripada mencela.Hikmah dan nasihat ada beribu macam cara.Mendidik hati manusia,tidaklah semudah membentuk tanah liat,tetapi menuntut lamanya jangka masa dan halusnya seni mendidik hati agar dekat dengan Allah Taala.

Jangan sampai tahap 'kukucup kuku kakimu'.Membodek/'Menganjing' tak kira masa!

-Wallahu'alam-


#Artikel ini ditulis berdasarkan pengajian kitab Bakuratul Amani,menghuraikan maksud "الحمد"

No comments:

Post a Comment