10 May 2013

Karena Pelangi itu Hanya Sekadar Ilusi

~BismilahirRahmanirRahim~

Semakin diri ini meningkat dewasa,semakin dekat realiti dengan diri kita..Hari demi hari yang berlalu,bukan sekadar untuk dibiarkan dengan angan-angan,tetapi usaha dan gerak kerja untuk mencapai impian.. Hakikatnya,dunia ini tidak semudah apa yang ketika kita budak-budak dahulu cuba bayangkan..Namun penuh cubaan,cabaran dan dugaan sepanjang perjalanan membumikan impian..

Apabila menghadapi ujian,kita pernah mengadu,atau mencari kekuatan untuk membangkitkan kembali semangat setelah jatuh kelemahan..Terkadang apabila kita memberitahu,seringkali kita dihidangkan dengan bait-bait kata harapan dan kepercayaan..Popularnya ayat di sebalik hujan yang Tuhan turunkan,ada pelangi yang bakal menyinar..

Atau apabila ditirutampal [baca:copypaste] ayatnya begini :

"Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat.. kita menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar... rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi"

Pelangi..Kita sering ternanti..Sering terpana tertawan dengan sinar indah bervariasi dengan warna...Kita semestinya,termasuk dalam kalangan mereka yang sering mengejar pelangi..Hari-hari yang cerah nyaman tenang bukan tersedia untuk kita setiap masa..Kita sentiasa meletakkan sangka baik kita bahawa akan munculnya pelangi...

Namun pernahkah kita terfikir,bahawa kadangkala pelangi itu bukan terbaik yang Tuhan sediakan untuk kita??

Pelangi...Kewujudan sebenarnya hanya ilusi..Tidak dapat disentuh,cuma dapat dibentuk imejnya melalui kornea...Kita terkadang terkaku melihat...Gabungan prisma warna menawan...Kalau kita cuba menggapai pelangi,apa yang disentuh tangan hanyalah bayangan warna...Kalau kita cuba mengejar,seakan-akan pelangi itu akan lebih berlari jauh daripada kita...


Kita terlupa matahari...Realiti yang sering menyinari hari-hari kita..Dan pelangi itu sendiri wujud kerana bantuan daripada matahari...Matahari yang membiaskan cahayanya membentuk gabungan warna pelangi...
 Kita terkadang bencikan matahari..Hangat terik sinarnya membakar sel-sel diri..Kita mengeluh dengan tugas matahari....Kita kadang memarahi tanpa disedari...

Tetapi kita tidak sedar,sebenarnya Tuhan sudah menyediakan matahari...kenapa perlu menanti pelangi??

Metafora ini adalah untuk kita menerima hakikat,terkadang kita bersangka apa yang kita terbaik untuk kita itu sememangnya terbaik untuk kita...Namun apabila tidak dapat kita mencapainya,kita menganggap mungkin ada yang indah untuk kita...Tetapi apabila realiti sebenar yang kita dapat,bukanlah apa yang kita impikan, malah kita tidak pernah terfikir pun hendak menghargai ia sebagai pemberian,bahkan memberontak menolak pemberian itu samaada sembunyi atau terang-terangan,bagaimana hendak menyifatkan hikmah itu sebagai pelangi??

Pelangi itu indah,namun tidak nyata,ilusi dan imejnya tidak membumi..Matahari itu realiti,walau sifatnya membakar dengan sinar hangat terik,seringkali melelahkan,seringkali memeluhkan,seringkali membuat kita rimas dengan pantulan cahaya Ultraviolet yang ditapis oleh ozon itu..Namun kita perlu menerima tanpanya, kita tidak boleh meneruskan tugasan..

Tanpanya,hidupan di bumi ini cuma membeku kesejukan..Tanpanya, kita cuma malap ditelan kegelapan..Tanpanya,pelbagai proses untuk menyambung nyawa,respirasi, fotosintesis, pencahayaan, pendebungaan, semua itu akan terhenti...

Dan realiti sebenar apa yang terjadi dalam kehidupan kita,adalah kita perlu yakin dengan kesetiaan matahari,bukan menanti pelangi...Walau kenyataan yang berlaku membakar jiwa kita, menusuk terik hati kita, melelahkan diri kita,memeluhkan semangat kita untuk menerima...Pemberontakan di dalam jiwa terkadang mahu melenyapkan sahaja peranan matahari,biar pelangi sahaja mewarnai hidup kita..

Tetapi andai diselami,didalami dan dialami dengan mata hati dan mindset Tauhid,maka kita dapat tahu kenyataan sepanas dan seterik matahari itu sebenarnya sumber kekuatan kita untuk meneruskan kehidupan...Sumber kegunaan kita pada masa hadapan..Sumber tenaga kita untuk mempersenyawakan keyakinan kepada Tuhan...walaupun ia tidak seindah pelangi...

Matahari itu setia,selepas hujan dia tetap menyinari,tidak hujan dia tetap memancar,bahkan dia sanggup memberi laluan untuk hujan,pelangi,bulan dan malam memberi peranan..Tetapi dia tidak merajuk walaupun kehadirannya terkadang dianggap menyusahkan kehidupan...Matahari terus bersinar dan menyinar...


Oleh itu di dalam kehidupan ini,jangan hanya dinanti keputusan seindah pelangi,tetapi tetaplah setia dengan sinar matahari,kerana pelangi hanya ilusi indah yang dibina dengan angan-angan tanpa realiti, tetapi matahari adalah hakikat penilaian bagaimana penerimaan kita terhadap ketentuan Tuhan..Tidak semua Dia sediakan kenyataan seindah pelangi,tetapi Dia memberi keputusan seterik matahari...Kerana Dia lebih Mengetahui, bahawa apa yang terbaik untuk realiti...

Matahari,bukan pelangi...

#Diharap metafora ini mampu memahamkan anda semua tentang hakikat bahawa apa yang berlaku dalam hidup ini bukan semua seindah pelangi...Apabila datang keputusan yang bukan atas kehendak kita, kita kadang-kadang berbelah bahagi hendak menerima dengan tabah dan redho dan syukur..

 Kita menganggap keputusan itu seperti matahari,menyusahkan,panas,terik,hangat..Tetapi kita terlupa tanpanya kita mati, tanpanya kita beku,tanpanya kita tak mampu berdiri meneruskan kehidupan...

Saya menulis artikel ini,atas hakikat yang terpaksa saya terima,tidak dapat menyambung pelajaran ke Jordan kerana tiada restu daripada ibu dan abah...Namun tawaran yang datang kepada saya selepas itu bukan semuanya seindah pelangi,semuanya saya tak hendak..Saya bagaikan putus asa dengan hakikat yang terpaksa dalam rela ini..

Namun saya cuba bangkit untuk meyakini bahawa jika menunggu untuk pelangi,kita hanya terperangkap dengan ilusi..Jadi bangkitlah,yakin dengan matahari,pemberian Tuhan yang jarang kita syukuri,namun kebaikan yang terdapat dalam fungsinya membawa rahmat kepada sekalian hidupan di alam ini...

The sun is wonderful, it can make even the dirt shine-Tendou Souji
Jangan hanya mengharap keindahan dalam hidup kita,cuba sedaya upaya untuk menerima apa jua keputusan Tuhan,pahit atau pedih,sakit atau perit,sebenarnya seperti matahari yang punya 1001 fungsi dan kebaikan di sebalik keterikan dan kehangatan yang disediakannya...

Kita cuma mampu meneruskan kehidupan ini dengan matahari,bukan mengharap dapat menggapai pelangi..

Bangkit,dan jangan berhenti berlari.....

-Wallahu'alam-

No comments:

Post a Comment