03 August 2013

Destini;Terkena Kejutan di Tengah Jalan

~In the Name of Allah the Most Beneficient the Most Merciful~

"Kau ni dah kena culture shock ni"
"Eh kenapa??"

Dialog kenapa yang selalu nak ditanya kepada penuduh-penuduh sejati...Seakan-akan mereka diberi kuasa untuk menjadi polis yang menghukum orang ini sudah sesat dari jalan Tarbiah...Sedang tidak dilihat pada diri mereka itu apa yang patut diperbaiki,lebih suka mereka melihat kesilapan orang lain dan memperbesar-besarkan..

Kenapa dicop sebagai culture shock??

-Dulu senyap,sekarang dah bising
-Dulu tak menonjol,sekarang dah market
-Dulu blur,sekarang gangster
-Dulu malu-malu,sekarang dah boleh hangout

Boleh juga berlaku situasi ini :

-Dulu nakal,sekarang geng surau (insaf)
-Dulu suka Avenged Sevenfold,sekarang Ya Hanana
-Dulu suka maki,sekarang senyap kalau bersuara pun ayat ala-ala tazkirah
-Dulu suka mengorat,sekarang tunduk bila jumpa perempuan

Dan dua tiga ratus jenis lagi alasan-alasan lain ciptaan manusia...Pastinya orang yang terkena culture shock ini terjebak dalam salah satu antara dua situasi di atas,sama ada culture shock yang baik ataupun yang tak baik... Tapi yang pasti lidah manusia pasti menggulung ayat-ayat yang menyakitkan hati untuk didengar...

"Kau dah sosial lah sekarang"
"Ohh dah pandai berkaraoke sekarang ye"
"Dah jarang nampak muka kau kat surau sekarang"
"Ehh nak tunjuk baik la tu...Macam aku tak tahu kau macam mana kat sekolah dulu"
"Dia tu dulu selalu buat masalah....Jangan percaya sangat...Alim-alim kucing je tu"

Ketika di sekolah dulu,bila terdengar cerita bekas-bekas senior yang hanyut,playboy,so Sial,fesyen pelik- pelik,perangai lagi lah pelik,terfikir juga kenapa mereka ini tak istiqamah dalam mengamalkan tarbiah.. Tarbiah sepatutnya tidak ditinggalkan 'pakaian'nya tersangkut di locker asrama tapi perlu dipakai dan dibawa ke mana-mana...

Sering juga mempertikai keadaan dan menghukum diri mereka itu sudah hanyut dan jahat kerana meninggalkan sisa-sisa tarbiah yang mereka pelajari dan hayati suatu ketika dahulu.. Mereka sudah dianggap gagal dan terjelepuk jatuh di tengah jalan..

Namun ketika diri ini tercampak di bumi yang hanya dua tiga orang peneman tarbiah di dalam diri, tidak ada bi'ah solehah yang khusus untuk menghidupkan sunnah...Tidak ada badan dakwah yang aktif dalam menghidupkan semangat beramal soleh secara berjemaah...Bahkan ruang untuk bermaksiat dan lari daripada jalan Tuhan dibuka seluas-luasnya...

Ya lah,mana ada sangat orang yang nak ingatkan kalau kau tertinggal solat atau kau tak solat pun..Mana ada orang yang nak tegur kalau nampak kau berdua-duaan dengan bukan mahram..Tambahan lagi, tak ada orang yang nak offer diri menerangkan hukum-hukum dan fiqh remaja terutama dalam bab sosial dan cinta.. Kalau terjerumus dalam lembah cinta dusta pandai-pandailah berenang balik ke tepian..

Ada itu tetap ada,tetapi golongan itu tidak ramai...

Maka apabila duduk,biar duduk bersama orang-orang yang sudi ingatkan diri kepada Allah... Apabila berjalan,pastikan berjalan dengan orang-orang yang tahu syari'at Allah..Apabila bersembang, cari orang-orang yang mampu bercakap tentang perkara yang mengingatkan kepada Allah..Kalau tidak mampu sepanjang masa,cubalah sekali-sekala..

Setiap orang tidak sama,jangan menghukum semua orang perlu jadi macam kita
Jangan mudah menghukum orang lain culture shock,atau diri sendiri culture shock...Kita bukan di zaman sekolah yang mudah kita kenali perangai dan fe'el orang..Dahulu di sekolah kita dibesarkan dengan persekitaran yang sama dengan sahabat-sahabat kita,kini melangkah ke universiti,kita diperkenalkan pula dengan sahabat-sahabat yang pasti mempunyai sifat dan sikap yang berbeza,dan kita didedahkan dengan persekitaran baru yang nyata berbeza dengan sekolah dahulu...

Maka tidak perlu menuding jari dan meluruskan lidah sambil menggulung ayat : "Dia tu dah kena culture shock,hanyut dah dia tu"

Apa salahnya ambil sedikit masa untuk mengenali personaliti suspek culture shock kita.. Kenal gaya dia bagaimana...Di sekolah dahulu bagaimana..Persekitaran yang dia hidup selama ini bagaimana..Apa yang dia suka,apa yang dia benci...Fikrahnya benar,atau pegangannya salah dalam menentukan jalan hidupnya..

Dulu,di bumi itu,aku dididik supaya 'menghindar'kan muslimat...Sedaya upaya tidak bercakap,elak bila berjumpa,bila bergaul dilarang sama sekali ketawa,lagilah tak boleh kalau secara peribadi berhubung bermesra..

Di bumi itu,aku juga diajar supaya mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w..Selalu berjubah berserban di kepala..Tidak lekang Al-Quran dan ayat-ayat tazkirah...Tidak lupa ada liqa' memperingatkan sesama sahabat tentang hak-hak kepada Allah dan hak-hak kepada manusia..Dituntut supaya Hormat-menghormati sesama sahabat, guru,pengetua,makcik kantin,pakcik tukang kebun bahkan kepada kerani yang selalu jual ayam percik kat belakang asrama..

ah,sudah pasti bumi itu bukan bumi yang sempurna..Bumi itu cuma bumi bertuah,melahirkan insan berjiwa tabah...Pasti masih ada kelemahan dan kecacatan dalam proses mengajar dan mengamalkan tarbiah..Maka apabila ditakdirkan Allah untuk menapakkan kaki di bumi yang baharu,aku menyusun strategi supaya masih tidak hanyut namun pastinya tidak perlu mengulang sebijik sama macam di bumi itu..

Karena bumi baharu ini bukanlah bumi itu...Suasananya lain,bi'ahnya lain,orang sekelilingnya lain, tarbiahnya lain,fe'elnya lain,kegemarannya lain,flownya lain...Adakah perlu ikut semua trend yang menjadi kesukaan biasa orang-orang yang baru mengenal alam kebebasan daripada kekangan peraturan,warden dan asrama??

Orang couple,kita pun gatal  mencari couple...Orang dating,kita pun gedik cari pasangan ajak dating di tepi tasik biawak..Orang hangout,kita pun galak cari port-port menarik nak buat projek khas...Tak salah couple, tapi biar berlandas syari'at,hubungan jaga,banyakkan doa,tingkatkan usaha dalam nak memilik dan mendidik dia..

Tak salah dating,tapi kalau berdua-duaan,pasti membuka luas ruang untuk maksiat...Maka dating tukar jadi meeting,duduk biar dalam bilangan dan keadaan yang sedaya-upaya menutup pintu fitnah... Tak salah hangout,tapi kawal diri jangan overdose dengan keseronokan berjimba...

Culture shock mungkin boleh berlaku pada semua orang...Tapi biar kita tidak menjadi orang yang mudah menghukum dan menuduh orang lain culture shock...Lagi malang kalau kita ini suka bercerita yang orang lain sudah hanyut...Sedangkan kita masih belum lagi bermula untuk mengenali siapa suspek kita itu...

Pakaian tarbiah itu bukan hanya berserban berjubah,tetapi mendidik hati agar dekat dengan Rabbnya..

Acuan tarbiah itu tidak semesti dengan gaya manis-manis manja,tetapi dibentuk dengan ketegasan memelihara syariatnya..

Lepasan tarbiah itu,ayat-ayatnya tidak perlu tersusun bak ceramah atau tazkirah di masjid, tapi cukup untuk menyentuh jiwa-jiwa para pencari Tuhan..

Andai dia akhi yang memakai jeans,berkaraoke,bergaul rileks dengan semua orang,apa salahnya meletak husnuzhon bahawa dia adalah seorang yang sporting dalam diam..

Andai dia ukhti yang berjubah dalam cardigan,bershawl,suka bersembang  dengan semua orang,apa salahnya melekapkan sangka baik pada dirinya bahawa dia sebenarnya mudah mesra...
Harapan itu ada buat orang berdosa yg masih beriman

Ahh andai semua tempat hanya ada orang-orang yang tidak sudi bertegur sapa antara satu sama lain, hilanglah seri dalam mengenali fe'el manusia..Andai semua orang hanya tahu bercakap skema sambil suara rendah dan tak berapa nak melayan,hilanglah seni dalam bergaul dengan manusia...Andai semua orang hanya tahu lepak di bilik sambil online dan bertweet bukan-main-lagi-kaww(kat luar senyap sangat), hilanglah komunikasi berkesan dalam memahami hati manusia...kerana tidak semua yang disosialkan dalam laman sosial itu dapat menjadi indikator untuk meletakkan manusia itu jenis yang macam ini,atau yang macam itu..

Janganlah hidup didalam bayang-bayang sekolah dahulu hingga tak mampu bertahan dengan bahang perubahan gaya hidup sekarang...Biar diri tetap dengan gaya sekolah dahulu,cuma cara itu yang mungkin perlu berubah..Asalkan jangan biarkan diri itu hanyut ditenggelam arus hedonisme yang amat kuat dan dahsyat..

Yang tahu diri kita sebenarnya,hanya kita dan Tuhan kita..Semua orang boleh berubah,bezanya perubahan kepada kebaikan atau kejahatan,itu adalah pilihan kita..Culture shock mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,tapi itu bukan tanda kita sudah di'buang' daripada jalan tarbawi Rabbi..

Tidak semua orang mampu menerima cara kita,maka tetaplah dengan cara kita selagi tidak menyebabkan iman kita binasa...Tidak semua orang mampu menyukai kita,maka tetaplah dengan gaya kita selagi mana orang yang membenci itu tidak sampai berpuluh beratus berjuta....Tidak semua orang mampu memahami diri kita,maka berilah ruang untuk mereka mengenali personaliti kita dan jangan cepat patah hati dan putus asa andai ada suara-suara yang sudah menghukum "KITA INI SUDAH HANYUT"..

Dunia ini terlalu luas untuk diterokai,dan manusia itu terlalu kompleks untuk difahami~

-Wallahu'alam-



No comments:

Post a Comment